Monday, July 16, 2012

maksimumkan kuasa tekad anda


Jelas kelihatan produk yang dihasilkan yakni pembentukan manusia untuk ke arah mencapai modal insan kelas pertama hingga ke hari ini amat sedikit bilangannya. Namun Alhamdulillah, lebih baik ada sedikit daripada tiada langsung. Perkara yang ingin saya kaitkan adalah, pandangan peribadi saya mengenai hal ini mungkin bukan berpunca beberapa faktor yang sudah ramai ahli intelektual membincangkannya tidak kiralah dari sudut masalah kekeluargaan, masalah kewangan, pengurusan diri dan sebagainya. Dari sudut pandang sisi saya adalah, kegagalan sifat ingin tahu itu dalam diri manusia.
Sifat Ingin Tahu
Manusia tidak kira di peringkat umur mana sekalipun, sifat ini kurang ditonjolkan. Seseorang yang menonjol sifat ini ada mendapat kelebihannya. Kelebihan dari mendapat info yang lebih, ransangan otak untuk menyoal, gerak badan ke arah pandangan positif, dan sebagainya. Mari kita rujuk makna disebalik WillPower itu.
WillPower – Kuasa Tekad
'Will' atau dalam Bahasa Melayu nya adalah 'Tekad'. Jikalau kita rujuk dalam Kamus Dewan edisi ke-4 ada menyatakan maksud 'Tekad' adalah : kemahuan yang sungguh-sungguh (untuk mencapai sesuatu), kepercayaan yang sungguh-sungguh, kebulatan hati. Kita fokuskan terhadap perkataan 'kemahuan yang sungguh-sungguh'. Dengan ini jelas kita tahu, mesej yang ingin saya sampaikan mengenai Kuasa Tekad adalah kuasa yang datang dalam diri manusia yakni kemahuan mereka terhadap sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Adapun Kuasa Tekad ini boleh juga kita kaitkan dengan Kuasa Jihad. Kenapa? Jihad adalah kita melaksanakan sesuatu dengan bersungguh-sungguh dalam mencapai matlamat, sudah pasti jika kita mati sewaktu sedang berjihad kita dianugerahkan mati syahid. Jelaslah perkara Kuasa Tekad ini tiada buruknya kerana kuatnya azam kita untuk mencapai sesuatu perkara.
Kuasa Tekad dan Matlamat Tidak Menghalalkan Cara
Apabila kita sudah ketahui, pengertian tekad adalah dalam melaksanakan sesuatu dengan bersungguh-sungguh dalam mencapai matlamat yang telah digagaskan. Namun, sebagai seorang muslim yang beriman kepada Allah SWT dan mengakui Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah SWT, maka jangan melampaui batas mengaplikasikan kuasa ini dengan menghalalkan apa jua cara demi ingin mencapai matlamat. Jangan kita bersungguh sehinggakan sanggup menggadai maruah Islam demi ingin mencapai matlamat peribadi. Contoh mudah boleh kita lihat adalah : si A ingin dapat cemerlang dalam peperiksaan. Matlamatnya : cemerlang dalam peperiksaan. Cara : bersungguh benar si A meniru jawapan si B padahal si A tidak pula bersungguh untuk mengulangkaji pelajaran terlebih dahulu.
Mungkin contoh yang saya ketengahkan seakan terlalu mudah, tetapi kepentingan yang ingin saya sampaikan adalah matlamat tidak menghalalkan cara untuk digunapakai. Perlunya kita dapat membezakan antara matlamat baik dan matlamat buruk. Perhatikan : "Saya ingin menjadi pencuri yang berwawasan 2020" – Matlamat baik dan buruk telah dicampuradukkan yakni pencuri (buruk) dan berwawasan 2020 (baik). Kesimpulannya matlamat ini dikategorikan buruk. Kerana matlamat itu sendiri adalah fitrahnya sangat baik kepada manusia sejagat. Ianya tidak boleh dimanipulasikan dengan kenyataan kononnya baik tetapi buruk. Dengan itu, apabila kita sudah 'set' kan matlamat kita yang cukup cemerlang pada awalnya maka sudah pasti kesungguhan kita (Kuasa Tekad) akan membuak-buak dan menggunakan cara yang betul untuk mencapai matlamat itu tadi dan menolak – Matlamat menghalalkan cara.

WillPower (Kuasa Tekad) dalam siri para Sarjana Islam
Mari kita singkapi antara beberapa contoh ibrah boleh diambil hal-hal berkait rapat dengan Kuasa Tekad ini dalam diri Sarjana Islam terdahulu. Siapa tidak kenal dengan Sarjana islam terkemuka yakni Al-Khawarizmi. Al-Khawarizmi yang mempelajari ilmu nombor dan berjaya mewujudkan teori matematik paling berpengaruh iaitu "AlGebra" atau al jabar dimana diakui oleh seluruh para sarjana timur selatan barat utara bumi akan ilmu beliau ini. Bagaimana beliau boleh mencetus teori sedahsyat ini sehinggakan kita rata-rata sungguh sukar untuk memahami 100% ilmu algebra ini? Mulanya adalah apabila tercetus minat beliau untuk mendalami ilmu nombor. Maka beliau musafir ke negara India untuk menemui seorang sarjana India yang mahir dalam ilmu nombor, maka Al-Khawarizmi telah berjumpa dengan Sarjana India bernama Kankah. Pada asalnya, Kankah tidak mahu untuk mengajarnya tetapi sifat Tekad Al-Khawarizmi maka dipujuknya kali kedua barulah Kankah ingin mengajar beliau dalam ilmu nombor.
Selesai sudah ilmu nombor diajar kepada Al-Khawarizmi, lalu Kankah berkata :
"Sekarang kamu telah tahu tentang aritmetik India. Saya tidak berasa kesal kerana mengajar salah satu rahsia India kepadamu. Jika benar jangkaan saya, kamu akan menjadi bapa matematik dan mengajar matematik kepada seluruh dunia." kata Kankah kepada al-Khawarizmi.
Kankah memberikan kepada al-Khawarizmi sebuah kitab tentang aritmetik India.
Begitulah contoh sifat Kuasa Tekad yang ditonjolkan oleh Al-Khawarizmi dalam beliau menelaah ilmu hisab yakni matematik di India dan keinginan beliau untuk mengetahui angka sifar yang tidak dikembangkan oleh sarjana India. Apa yang menarik perhatian adalah kata-kata dari Imam As-Syafie' :"Barangsiapa yang belajar ilmu hisab, dia mempunyai pandangan yang jauh serta pemikiran yang tajam." (Imam Syafie)
Antara Ghairah,Tekad dan Usaha
Sebenarnya ghairah dan tekad seolah-olah rakan karib yang sukar dipisahkan. Kunci utama tekad adalah sudut pandang positif yang diberikan kepada diri kita untuk mencapai matlamat yang kita idamkan. Secara automatiknya, usaha akan wujud. Ianya tidak akan tercapai istilah WillPower itu jika tiada usaha dari diri kita, bahkan tekad tidak wujud tanpa usaha. Apatah lagi ingin melihat matlamat itu tercapai. Disini kita dapat lihat, percambahan Kuasa Tekad ini telah berjaya menghasilkan doman lain yakni USAHA. Lihat definisi awal mengenai Tekad, usaha akan wujud itu pasti.

Kesimpulan
Berbalik kepada hal berkaitan dengan Modal Insan Kelas Pertama, saya ingatkan kembali, mungkin pandang sudut saya adalah merujuk kepada pengkelasan yakni pengkelasan dari sudut sifat dan dengan itu saya merasakan sifat atau Kuasa Tekad (WillPower) menjadi salah satu perkara perlu dilihat untuk membentuk Modal Insan kelas pertama selari dengan apa yang dituntut dalam Islam. Seseorang akan berjaya di dunia dan akhirat dengan memaknakan apa yang kita katakan TEKAD. Mungkin anda boleh meneladani Kartun Jepun iaitu animasi terkenal "NARUTO" dalam mengambil sisi motivasi TEKAD dalam penceritaan kartun itu. Jika saya ingin mengulas secara terperinci ibrah penonjolan dalam kartun ini mungkin sudah tersasar entri saya kali ini. Point di sini adalah TEKAD boleh memainkan peranan besar dalam diri manusia. Semoga saya dan anda sama-sama berTEKAD untuk berjaya di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

0 comments:

Post a Comment